SHAH ALAM, 22 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramal hujan lebat melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak hingga 9 malam.
Menurut agensi itu di Facebook, amaran hujan lebat disertai ribut petir juga dijangka berlaku di beberapa daerah di Perak, Melaka dan Johor.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.