Penjawat awam mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 15 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor antara tiga negeri rekod upah bulanan atasi kadar nasional

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Tiga negeri merekodkan median upah bulanan mengatasi kadar nasional iaitu RM2,600 pada suku tahun ketiga 2023, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM3,800 diikuti Selangor RM2,900 dan Pulau Pinang RM2,645.

“Bagi Kelantan, Perlis dan Sabah menunjukkan median upah bulanan terendah dalam tempoh masa sama, masing-masing mencatatkan RM1,600, RM1,627 dan RM1,800,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian berdasarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Tahun Ketiga 2023, dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhan bilangan pekerja tempatan di sektor formal meningkat 1.3 peratus kepada 6.68 juta pada September 2023 berbanding bulan sama tahun sebelumnya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (tengah) bersama Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin (dua dari kanan) dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron (dua dari kiri) menunjukkan buku laporan penemuan Survei Pendapatan dan perbelanjaan Isi Rumah 2022 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya pada 28 Julai 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Menurut Mohd Uzir, daripada jumlah itu, 55.4 peratus atau 3.7 juta adalah lelaki, manakala 44.6 peratus atau 2.98 juta adalah wanita.

Dari segi median upah bulanan, beliau berkata pekerja formal lelaki menunjukkan peningkatan 5.8 peratus kepada RM2,645, dan pekerja formal perempuan menerima RM2,518 dengan pertumbuhan positif merentasi semua sektor pada suku tahun ketiga 2023.

“Secara khusus, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan median upah bulanan tertinggi iaitu RM5,200 pada September 2023. Sektor ini turut merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi pada September 2023 dengan 16.5 peratus.

“Sektor pertanian yang meliputi 1.9 peratus daripada keseluruhan pekerja formal, mencatatkan median upah bulanan terendah iaitu RM1,982, meningkat 6.3 peratus tahun ke tahun pada September 2023.” katanya.

Mohd Uzir berkata dari segi taburan upah, 34.6 peratus pekerja formal di Malaysia memperoleh upah bawah RM2,000.

“Peratusan ini menandakan penurunan daripada 38.1 peratus dicatatkan pada tahun sebelumnya. Pada masa sama, hampir 7.5 peratus pekerja formal memperoleh upah bulanan RM10,000 dan ke atas pada September 2023,” katanya.

Berdasarkan kumpulan umur pula, Mohd Uzir berkata pekerja formal berusia 25 hingga 29 tahun merangkumi satu per lima daripada keseluruhan pekerja formal pada September 2023 iaitu 19.9 peratus atau 1.33 juta orang.

“Bagi kumpulan umur 65 tahun dan ke atas pula mencatatkan bilangan pekerja formal terendah dengan 0.1 juta orang atau 1.5 peratus. Kumpulan umur 45 hingga 49 tahun menerima median upah bulanan tertinggi pada September 2023 iaitu RM3,500. Kumpulan umur ini mengekalkan median upah bulanan tertinggi pada Julai 2023 (RM3,482) dan Ogos 2023 (RM3,500).

“Bagaimanapun, kumpulan umur di bawah 20 tahun menerima median upah bulanan terendah sebanyak RM1,500 pada September 2023, kekal tidak berubah bagi tiga bulan berturut-turut sepanjang suku tahun ketiga 2023,” katanya.

Data siri masa dan maklumat lanjut berkaitan pasaran buruh boleh diperoleh menerusi portal Malaysia Labour Market Interactive Data (MyLMID). Untuk maklumat lanjut, sila layari https://mbls.dosm.gov.my/mylmid/.

– BERNAMA


Pengarang :