Air Selangor membuat hebahan menyeru penduduk negeri ini memohon Skim Air Darul Ehsan bagi mendapatkan air percuma. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rumah ibadat terima subsidi, tidak terkesan kenaikan tarif air

GOMBAK, 25 JAN: Kerajaan Selangor mengeluarkan peruntukan tambahan untuk menyerap sebahagian tarif baharu air untuk penerima Skim Air Darul Ehsan (SADE) termasuk rumah ibadat.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah tersebut bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah dan rumah ibadat di negeri ini tidak terkesan dengan peningkatan tarif air.

“Untuk rumah ibadat, Kerajaan Negeri sudah sediakan peruntukan lebih awal antara RM1.8 juta hingga RM2 juta supaya kita dapat serap kenaikan. Ini kerana Kerajaan Negeri menyedari keperluan dan cabaran dihadapi rumah ibadat.

“Jadi rumah ibadat tidak akan terkesan dengan kenaikan tarif kerana telah menerima subsidi yang ditanggung Kerajaan Negeri,” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Thaipusam peringkat Selangor di Batu Caves malam tadi.

Pada 18 Januari, Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Selangor menyerap sebahagian tarif baharu air dianggar RM40 juta setahun untuk penerima SADE selain rumah ibadat dan kebajikan.

Beliau menjelaskan lebih sejuta rakyat atau 285,673 akaun penerima air percuma itu menerima tanggungan kos yang meningkat RM1.60 kepada RM13 bagi setiap isi rumah.

Menurutnya, pentadbiran negeri menampung peningkatan kos dari RM31.8 juta kepada RM37.3 juta setahun, manakala RM2 juta untuk rumah ibadat dan kebajikan.

 


Pengarang :