Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Ceti haram simbah cat di rumah jiran selepas gagal kutip hutang

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Tiga kenderaan dan pagar dua rumah di Taman Selaseh, Gombak di sini rosak selepas disimbah cat merah dipercayai dilakukan pemberi pinjaman wang tidak berlesen atau along, pagi tadi.

Seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muhammad, 32, berkata beliau menyedari pagar rumah, kereta isteri serta kereta jirannya disimbah cat pada jam 8 pagi.

Katanya along turut meninggalkan sekeping nota di rumah jirannya, mendesak pihak kejiranan untuk memaksa individu yang dicari membayar hutang selain mengancam membakar rumah di situ jika gagal berbuat demikian.

Menurutnya insiden simbah cat itu bermula sejak beberapa tahun lalu selepas jirannya yang dipercayai membuat pinjaman itu berpindah ke tempat lain.

“Sebelum ini, rumah saya ada terkena simbahan cat tetapi tidak seteruk seperti kali ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

– BERNAMA


Pengarang :