SHAH ALAM, 25 JAN: Universiti Selangor (Unisel) terima lawatan kerja daripada delegasi Universitas Fort De Kock (UFDK) Bukit Tinggi, Indonesia, semalam.
Delegasi diketuai Rektor UFDK Dr Evi Hasnita itu disambut meriah Unisel pada satu majlis di Bilik Mesyuarat Senat, Unisel kampus Shah Alam.
Pengarah Komunikasi Korporat Unisel berkata kehadiran delegasi itu adalah hasil lawatan Unisel ke universiti tersebut awal tahun lalu.
“Tujuan utama lawatan ini meliputi aspek kerjasama antarabangsa berkenaan pengurusan dan perkhidmatan kesihatan awam.
“Semoga kerjasama ini semakin erat dan program promosi penjagaan kesihatan dapat dipertingkatkan terutama berkaitan dengan Fakulti Sains Kesihatan (FSK),” kata Hasril Abu Hassan menerusi Facebook.
Pada majlis sama, Unisel turut menganjurkan syarahan bertajuk ‘Application of Artificial Intelligence (AI) in Detecting Atherosclerosis’ yang disampaikan Pensyarah FSK Dr Mardhiyati Mohd Yunus.