Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan kompaun dan menutup kawasan pembakaran terbuka di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 25 Januari 2024. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya
PBTSELANGOR

Individu lakukan pembakaran terbuka dikompaun, MPAJ hargai penduduk jadi mata, telinga PBT 

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil tindakan segera terhadap pemilik kediaman di Bukit Antarabangsa, Ampang kerana melakukan pembakaran terbuka di kawasan lapang.

MPAJ memaklumkan pihaknya mengeluarkan kompaun dan menutup kawasan itu selepas menerima aduan pembakaran kertas sejak kelmarin.

“Pembakaran terbuka dilaporkan berlaku di kawasan lapang bersebelahan Jalan Wangsa 5A, Bukit Antarabangsa sekitar 11 malam pada 24 Januari hingga 2 pagi keesokan hari.

“Ia adalah aktiviti haram dan tidak mendapat kebenaran MPAJ. MPAJ turun ke lokasi pada jam 8.15 pagi semalam dan mendapati ada kesan pembakaran kertas secara besar-besaran di kawasan lapang itu,” katanya di Facebook.

Menurut MPAJ, kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (2007) MPAJ selain satu notis bawah Seksyen 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Akta 171.

Jelas pihak berkuasa tempatan (PBT) itu MPAJ turut menghubungi bilik gerakan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi tindakan selanjutnya mengikut perundangan alam sekitar.

”Tahniah dan syabas kepada penduduk yang menjadi mata dan telinga MPAJ. Anda adalah hero kami. Sayangi alam sekitar,” katanya.


Pengarang :