Orang ramai mendaftar dan mengemas kini maklumat peribadi dalam Sistem Pengkalan Data Utama (Padu) di kaunter yang disediakan Pejabat Operasi Negeri Jabatan Perangkaan Malaysia Selangor ketika tinjauan di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 4 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor rekod daftar tertinggi sistem pangkalan data kerajaan takat 24 Januari

SHAH ALAM, 26 JAN: Lebih 300,000 individu di Selangor telah mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) setakat 24 Januari.

Jumlah itu adalah yang tertinggi diikuti Sarawak kira-kira 220,00 individu dan Johor kira-kira 170,000 individu.

Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob berkata pihaknya turun padang dan membuka kaunter di beberapa lokasi terpilih terutama kawasan luar bandar bagi memudahkan orang ramai mendaftar.

“Kaunter ini dibuka dengan penggiliran di pelbagai lokasi bagi membantu mereka yang memerlukan selain memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan sistem ini,” katanya kepada Selangorkini.

Pengarah Jabatan Perangkaan Selangor Hartini Yaacob. Foto Ihsan Jabatan Perangkaan Selangor

Mengulas lanjut, Hartini berkata dengan adanya sistem Padu kerajaan dapat memastikan perancangan dasar dan pengagihan sumber dilakukan dengan teratur dan lebih baik terutama pengagihan subsidi dan bantuan.

“Bagi golongan yang berkemampuan iaitu kumpulan T20 maklumat anda akan membantu kerajaan mengenal pasti dasar bersesuaian.

“Ia termasuk pengurangan kadar cukai yang dikenakan mengikut tahap pendapatan bercukai dan sebarang kemudahan dan bantuan kecemasan sekiranya berlaku bencana,” katanya.

Dari 22 hingga 28 Januari, Jabatan Perangkaan Selangor membuka 62 kaunter meliputi sembilan daerah iaitu Hulu Langat sebanyak 15 kaunter dan sembilan di Sepang.

Petaling, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak masing-masing enam kaunter, Sabak Bernam (empat) dan lima kaunter masing-masing di Klang dan Kuala Langat. Orang ramai boleh lawati Facebook DOSM Selangor untuk lokasi terkini.

Sistem Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 mengandungi profil penduduk untuk membantu kerajaan melaksanakan dasar secara bersasar.

Pendaftaran dan kemas kini maklumat boleh dibuat antara 2 Januari hingga 31 Mac menerusi pautan https://www.padu.gov.my.


Pengarang :