Kakitangan Luas memeriksa kesan serta bau seakan diesel yang dikesan di Sungai Gong, Rawang ketika pemantauan pada 25 Januari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

EXCO: Tindakan pantas Luas elak pencemaran di Sungai Gong

SHAH ALAM, 26 JAN: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengaktifkan siasatan menyeluruh dan pencegahan sejurus menjejak kesan dan bau seakan minyak di Sungai Gong, Rawang semalam berjaya mengelak sumber air berkenaan tercemar.

EXCO alam sekitar berkata agensi berkenaan meletakkan satu unit perangkap minyak (oil boom) di aliran Sungai Gong bagi memerangkap aliran kesan minyak berikutan jarak lokasi penemuan bau ke loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu LRA Rantau Panjang hanya 16.1 km.

Menurut Jamaliah Jamaluddin, siasatan mendapati punca disyaki daripada sebuah premis penyelenggaraan jentera di kawasan perindustrian Rawang berdasarkan semakan dan pensampelan di titik akhir pelepasan serta kawasan premis terbabit.

“Kira-kira 12 tangki minyak diesel berkapasiti 17,000 liter setiap satu juga ditemui yang digunakan untuk mengisi tangki minyak lori yang berada di premis dan premis berkenaan diarahkan menghentikan aliran berkaitan dan melakukan pembersihan serta merta selain Luas meletakkan tambahan dua lagi unit perangkap minyak di aliran Sungai Gong.

“Sejumlah 30 unit alas minyak (oil pad) dan 375 kg activated carbon (AC) turut diletakkan di titik akhir pelepasan (longkang) serta aliran Sungai Gong bagi memastikan aliran tercemar kesan minyak dapat diperangkap daripada mengalir ke hilir dan dapat dinyahbau,” katanya dalam kenyataan.

Petugas Lembaga Urus Air Selangor meletakkan alas minyak (oil pad) di longkang bagi memastikan aliran tercemar kesan minyak dapat diperangkap daripada mengalir ke hilir Sungai Gong, Rawang pada 25 Januari 2024. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

Jamaliah berkata, bagaimanapun bacaan bau satu ton dikesan Air Selangor di muka sauk LRA Rantau Panjang pada 10.30 malam dari aliran pencemaran yang terlepas sebelum kawalan diaktifkan.

Susulan itu, Luas segera mengaktifkan pengepaman air mentah daripada kolam sumber air alternatif KL Larut dan Hang Tuah untuk meningkatkan kadar pencairan air sungai selain menyelaraskan pembukaan pintu baraj sungai bagi mempercepat aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk loji.

“Tindakan itu berjaya memastikan tiada risiko penutupan LRA utama Selangor iaitu SSP1, SSP2 dan SSP3 yang berhampiran dengan LRA Rantau Panjang dan tiada gangguan bekalan air dilaporkan Air Selangor.

“Luas membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1) Enakmen Luas 1999 bagi tindakan lanjut penguatkuasaan terhadap pihak terlibat dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) akan mengambil tindakan berkaitan di bawah bidang kuasa masing-masing di premis tersebut,” katanya.

Semalam, Luas mengaktifkan kod kuning di Sungai Gong berikutan penemuan kesan dan bau seakan diesel di sungai terbabit.


Pengarang :