EXCO Usahawan Najwan Halimi berucap ketika majlis perasmian Program Strategi Menang 2024 anjuran Yayasan Hijrah Selangor di Pusat Konvesyen Ideal Shah Alam pada 29 Januari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Negeri cari kaedah tuntut peniaga langsai tunggakan pinjaman Hijrah

SHAH ALAM, 30 JAN: Pentadbiran negeri akan meneliti kaedah sesuai bagi menambah baik proses kutipan semula pinjaman modal yang ditawarkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).

EXCO keusahawan berkata jumlah tunggakan sebanyak RM135 juta membabitkan 15,000 peminjam perlu dituntut semula bagi memudahkan pusingan pembiayaan kepada usahawan baharu.

Najwan Halimi menjelaskan cabaran terbesar dihadapi pengurusan Hijrah Selangor ketika ini apabila peminjam yang culas sukar dihubungi dan tidak memberikan kerjasama.

“Pihak Hijrah Selangor akan terus berhubung dengan peminjam terlibat untuk meminta mereka lunaskan baki pinjaman sedia ada. Tindakan undang-undang dengan melihat terma perjanjian dan senarai hitam juga akan diambil,” katanya.

Beliau yang ditemui dalam satu program di sini, semalam menambah Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha Hijrah Selangor untuk menuntut tunggakan tersebut.

Najwan berkata pelbagai inisiatif baharu dilaksanakan agensi itu bermula September tahun lalu termasuk memperkenal ejen kutipan dan pusat panggilan kredit.

“Saya yakin pelantikan ketua pegawai eksekutif baharu Hijrah dengan membuat pelbagai usaha lagi untuk melaksana (kaedah) kutipan semula (pinjaman) yang lebih efisien,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 2015, Hijrah Selangor menawarkan pelbagai skim pembiayaan seperti Skim i-Bisnes, Skim Zero to Hero; Skim Go Digital dan Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NADI).

Selain itu, agensi berkenaan turut menyediakan Skim i-Lestari, Skim i-Agro dan Skim i-Bermusim bagi membantu dari segi modal serta mengembangkan perniagaan usahawan.


Pengarang :