PBTSELANGOR

MPAJ buka kaunter kumpul minyak masak terpakai, e-sisa hujung minggu ini

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka kaunter pengumpulan minyak masak terpakai dan e-sisa pada Sabtu dan Ahad ini, bermula jam 9 hingga 11 pagi dan 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Bahagian Perhubungan Awam dan Sekretariat MPAJ berkata kaunter dibuka di Surau Al-Mustaqim Keramat AU5, Surau Al-Falah Keramat AU4, Flat PKNS Keramat AU1B/1 dan Kuarters Perumahan Polis Taman Keramat AU1.

“MPAJ membuka kaunter ini bagi memudahkan komuniti setempat melupuskan minyak masak terpakai dan e-sisa di kawasan kediaman masing-masing.

“Inisiatif ini bagi mengelakkan berlakunya pencemaran air disebabkan pembuangan minyak masak tanpa kawalan manakala e-sisa memiliki bahan toksik berbahaya dan boleh mengancam kesihatan sekiranya dibuang merata,” katanya menerusi kenyataan.

Berdasarkan rekod, 114 tan minyak masak terpakai dan 16 tan e-sisa berjaya dikumpul pihak berkuasa tempatan itu sepanjang tahun lalu hasil kerjasama dengan komuniti seiring matlamat mahu melestarikan alam sekitar.

Pada 21 Januari lalu, 195.7 kilogram (kg) minyak masak terpakai dan 392.20 kg e-sisa berjaya dikumpul menerusi program sama anjuran MPAJ di Masjid Al-Iman dan Kondominium Kemensah Villa.

Orang ramai boleh melayari laman rasmi Facebook MPAJ atau hubungi Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar MPAJ di talian 03-4285 7007 bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kaunter pengumpulan minyak masak terpakai dan pengumpulan e-sisa.


Pengarang :