Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim. Foto Facebook IPD SHAH ALAM
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak perempuan maut selepas tertinggal dalam kereta

SHAH ALAM, 1 FEB: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemukan meninggal dunia dipercayai tertinggal di dalam kereta di parkir berdekatan pintu belakang Hospital Shah Alam, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pegawai perubatan hospital itu pada 8.01 malam hari sama.

“Semasa ditinggalkan mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan. Ibu kanak-kanak itu berusia 34 tahun yang juga kakitangan hospital hanya menyedari kejadian terbabit selepas dihubungi suaminya pada 6 petang.

“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia setelah usaha menyelamatkan mangsa dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bedah siasat sudah dijalankan 2 petang semalam dan punca kematian belum diperoleh kerana masih menunggu analisis makmal.

Mohd Iqbal berkata hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya secara tidak sengaja di dalam kereta selepas diambil dari sebuah taska berdekatan sekitar 2 petang.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996.

– BERNAMA


Pengarang :