KUALA LUMPUR, 1 FEB: Kerajaan Negeri sedia mendengar suara penduduk dan pihak berkaitan berhubung cadangan pembinaan loji pembakaran sampah (insinerator) di Bandar Tasik Puteri, Rawang.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berjanji akan mengatur pertemuan dengan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) dalam masa terdekat.
“Saya sedang susun atur jadual untuk adakan pertemuan dengan NGO berkenaan. Saya akan maklumkan dalam masa terdekat.
“Masih ada masa, kerana kita belum keluarkan Kebenaran Merancang untuk projek itu. Saya faham kebimbangan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu beliau bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad meluangkan masa melawat reruai jualan Festival Balik Kampung Tahun Baharu Cina di pusat beli belah Pavillion Bukit Jalil di sini, hari ini.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/02/P_MBFestivalBalikKampungCNY-18-500x333.jpg.webp)
Pada Oktober tahun lalu, lebih 100 penduduk di Batu Arang dan Rawang berhimpun bersama JRTI bagi membantah cadangan pembinaan insinerator di Bandar Tasik Puteri.
Rata-rata penduduk bimbang terhadap projek tersebut yang didakwa tidak bersifat mesra alam sekitar dan memberi kesan terhadap kesihatan.