Tangkap layar video yang tular di media sosial menunjukkan salah seorang anggota polis trafik meminta saman RM100 daripada pelancong asing di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands. Foto Facebook Ady Izmady
AGENDAJENAYAH

Tiga anggota trafik minta pelancong RM100 dibebas dengan jaminan polis

IPOH, 1 FEB: Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan bagi menyambung reman tiga anggota polis trafik yang disyaki meminta wang daripada pasangan pelancong warga United Kingdom (UK), untuk menyelesaikan saman trafik di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands, baru-baru ini.

Permohonan lanjutan reman ke atas tiga anggota polis berumur lingkungan 37 hingga 42 tahun dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak yang dikemukakan pihak polis itu, ditolak Majistret Siti Nora Sharif.

Peguam Muhammad Al-Hirzan Mahamad Akhir dan Aqmarul Aqil Ismail mewakili ketiga-tiga anggota polis berkenaan.

Terdahulu, kesemua anggota polis trafik berkenaan memasuki mahkamah pada 1.18 tengah hari dan keluar kira-kira 40 minit kemudian, dengan memakai pakaian gelap dan bertutup kepala dengan ‘hoodie’ dan memakai pelitup muka.

Kesemua mereka yang ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.

Sementara itu Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi Bernama berkata ketiga-tiga anggota polis yang ditahan reman tiga hari sebelum ini bagi membantu siasatan itu, akan dibebaskan dengan jaminan polis.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan Polis Bukit Aman menyiasat video tular yang memaparkan seorang polis trafik didakwa mengambil RM100 daripada dua pelancong asing, dengan alasan membayar saman bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar dalam platform X, pasangan pelancong dari UK itu disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju namun, polis terbabit memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di situ.

-BERNAMA


Pengarang :