Pemain Selangor FC Brendan Gan meraikan jaringan dalam perlawanan menentang Sarawak United di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 19 Jun 2022. Foto Facebook Selangor FC
AGENDASUKANKINI

Brendan Gan tinggalkan Selangor FC selepas empat musim

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Pemain tengah negara, Brendan Gan mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Selangor FC selepas empat musim bersama skuad ‘Gergasi Merah’.

Selangor FC, dalam kenyataan semalam, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Brendan atas sikap kepimpinan beliau membimbing pasukan serta segala usaha dalam mempamerkan aksi cemerlang untuk ‘Gergasi Merah’ bagi setiap perlawanan sejak menyertai pasukan pada Disember 2019 dari Perak FC.

“Menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan, Brendan merupakan individu yang sentiasa membawa aura positif dan watak pantang menyerah kalah yang diperlukan dalam pasukan.

“Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Brendan Gan untuk perancangan masa hadapannya. Semoga kita bertemu lagi. Once a Red, #foreverRED,” menurut kenyataan tersebut.

Sepanjang khidmatnya bersama Selangor FC, pemain berusia 35 tahun itu membuat 80 penampilan dengan 75 daripadanya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjadi ketua pasukan hampir semua perlawanan.

Pemain kacukan Malaysia-Australia itu juga menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol bersama Selangor sebelum ini.

– BERNAMA


Pengarang :