Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din (tiga, kiri) pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan dan rampasan dadah jenis heroin base dianggarkan bernilai RM7.89 juta di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada 10 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tiga pelajar antara 5,791 individu ditahan, rampas dadah, aset RM1.55 juta

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Seramai 5,791 individu termasuk tiga pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah dalam Operasi Tapis Khas sepanjang tiga hari bermula Isnin lalu di seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata operasi membabitkan lebih 2,200 pegawai dan anggota jabatan itu turut merampas 128.3 kilogram serta lebih 16,000 liter pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM610,071.39.

Beliau berkata mereka yang ditahan berumur lingkungan 14 hingga 80 tahun dan objektif operasi itu adalah bagi mengesan serta memberkas tokan dadah dalam sekatan jalan raya, memusnahkan tempat penagihan dadah, bertindak ke atas penagih tegar, mengesan serta menangkap individu dikehendaki atas kesalahan dadah dan mengambil tindakan pencegahan.

“Mereka yang ditahan antaranya tokan (534 orang termasuk seorang pelajar), penagih (3,226 orang termasuk empat penjawat awam dan dua pelajar), orang yang dikehendaki (247 orang) dan kesalahan lain iaitu 1,784 orang termasuk empat penjawat awam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset berjumlah RM934,972.31 termasuk wang tunai RM34,872.31, kenderaan bernilai RM876,500, barangan kemas RM18,600 selain jam tangan bernilai RM5,000.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta dianggarkan bernilai RM1.55 juta.

“JSJN terus berusaha membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah dan berharap masyarakat terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan ini yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :