EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Anfaal Saari mencuba bakat menjadi penyampai berita ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO wanita, Media Selangor bekerjasama salur maklumat kepada rakyat

SHAH ALAM, 6 FEB: EXCO pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat mengunjungi pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) di Menara Bank Rakyat di sini hari ini.

Anfaal Saari berkata kunjungan kali pertama itu bagi membina kerjasama dengan media rasmi Kerajaan Negeri terutama dalam mempromosi inisiatif penjagaan ekonomi.

“Jika kita ada dasar yang bagus penyampaian maklumat ke bawah tidak berkesan, ia tidak ke mana-mana. Perlu saling bertukar pendapat dan kerjasama strategik antara pejabat EXCO dan MSSB.

“Hasil pembentangan tadi kita saling bertukar pendapat dan ada persetujuan yang bagus. Untuk 2024 ini, kita akan gerakkan (maklumat) lebih baik kepada rakyat,” katanya.

EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Anfaal Saari mengadakan kunjungan ke pejabat Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), Shah Alam pada 6 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Kunjungan beliau yang juga wakil rakyat Taman Templer disambut Ketua Pegawai Eksekutif MSSB Mohamed Fareed Ashaaree, Pengarang Kumpulan Fathi Aris Omar dan Ketua Kluster Operasi dan Strategik Mohd Zulkifli Ismail.

Terdahulu, Anfaal bersama beberapa kakitangan pejabatnya tiba kira-kira jam 10 pagi dan meluangkan masa lebih dua jam meninjau operasi dan ruang kerja MSSB.

Beliau turut beramah mesra dengan kakitangan MSSB serta melawat studio utama dan studio 2 selain berpeluang membaca berita di SelangorTV.


Pengarang :