Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof (tengah) bersama Pengerusi Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) Dato’ Ibrahim Md Yusof (kiri) bercakap kepada media ketika Maljis Pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Selangor 2024 di Wisma PKPS, Shah Alam pada 7 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sultan Selangor gembira PWS berjaya kembangkan nilai sumbangan wakaf

SHAH ALAM, 7 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor gembira projek ekonomi kendalian Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjaya mengembangkan nilai sumbangan wakaf.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga berpuas hati dan percaya dengan pengurusan agensi berkenaan sejak penubuhannya pada Januari 2011.

“Selaku pengerusi Mais, saya mengikuti rapat perkembangan PWS. Tuanku jarang bertanya (perihal wakaf), bermakna Baginda berpuas hati dan percaya agensi ini,” kata Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Wakaf peringkat Selangor di Dewan Orkid Wisma PKPS di sini hari ini.

Abdul Aziz menjelaskan pengoperasian PWS juga bukan semata-mata untuk agama Islam tetapi ia dapat memberi nilai tambah kepada penyumbang dan ekonomi negeri.

“Jadi sekiranya nilai wakaf kita sumbang RM100,000, mungkin dalam masa lima tahun akan datang ia menjadi berlipat ganda nilainya sekali gus pahala diterima penyumbang juga semakin besar.

“Justeru, saya berharap umat Islam di Selangor dapat mengikuti rapat aktiviti PWS dan menyebarluaskan lagi pemahaman berwakaf kepada keluarga atau orang sekeliling betapa besarnya ganjaran berwakaf,” jelasnya.

Terdahulu, PWS melancarkan Bulan Wakaf Selangor peringkat negeri bermula 11 Februari (1 Syaaban) sehingga 9 April (29 Ramadan).

Pelbagai program dianjurkan sepanjang kempen berlangsung antaranya kuliah khas Maghrib bersama figura dakwah, siaran langsung podcast bersama pempengaruh dan lawatan tapak ke projek pembinaan melalui dana wakaf khas.

 


Pengarang :