Orang ramai berbelanja pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) di pasar raya Segi Fresh Teluk Panglima Garang pada 30 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sembilan cawangan Segi Fresh tawar jualan murah barangan asas hujung minggu ini

SHAH ALAM, 9 FEB: Warga Selangor berpeluang mendapatkan barangan keperluan asas pada harga murah menerusi Jualan Ehsan Rahmah (JER) di sembilan pasar raya Segi Fresh pada hujung minggu ini.

Pada esok, program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan kerjasama Segi Fresh diadakan di cawangan Sungai Udang, Telok Panglima Garang, Batu Caves dan Kuala Selangor.

Jualan sama pada Ahad pula di Segi Fresh cawangan Tanjung Karang, Bestari Jaya, Bukit Sentosa, Kajang dan Bandar Mahkota Banting.

“Inisiatif ini membantu meringankan beban komuniti setempat terutama golongan B40. Dapatkan barang dapur segar dan murah di sini,” kata Segi Fresh menerusi Facebook.

Pada Julai lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.

Selain enam barangan asas JER, barangan basah lain turut ditawarkan termasuk kentang, bawang, sayur sawi, buah-buahan, santan dan tepung gandum.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Selain bekerjasama dengan Segi Fresh, PKPS turut menganjurkan jualan murah di lokasi terpilih seluruh negeri hampir setiap hari.

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :