Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Penuhi permintaan, PKPS anjur jualan mega barangan asas sempena Aidilfitri

SUBANG JAYA, 9 FEB: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan menganjurkan jualan mega sempena Aidilfitri dengan lebih banyak barangan asas ditawarkan kepada orang ramai.

Pengurus Besar Sektor Perniagaan dan Pemasarannya Rosnani Abd Malik berkata penganjuran program itu bagi memenuhi permintaan orang ramai sekali gus meringankan beban persediaan raya.

“Insya-Allah PKPS akan berusaha memenuhi permintaan orang ramai. Untuk jualan mega, kita akan tambah berganda barangan asas yang dibawa bagi memastikan golongan berpendapatan rendah menikmati manfaat ini.

Pengurus Besar Sektor Perniagaan dan Pemasaran PKPS Rosnani Abd Malik. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Setakat ini perbincangan PKPS bersama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Selangor bersetuju anjur jualan murah secara mega untuk Tahun Baharu Cina dan kemudian untuk Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Untuk jualan mega Tahun Baharu Cina hari ini, kita bawa dua lori. Untuk Aidilfitri nanti dijangka kita guna empat atau lima lori di setiap lokasi ,” katanya.

Beliau ditemui di Jualan Mega Ehsan Rahmah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di SS13 di sini hari ini. Program jualan itu merupakan kerjasama antara PKPS dan KPDN.

Tambahnya, PKPS juga akan membawa barangan lain daripada Selangor Fruit Valley (SFV) seperti serai, daun pandan, halia, kunyit dan sayur-sayuran segar.

Mengulas mengenai jualan mega sempena Tahun Baharu Cina, Ketua Seksyen Perdagangan Dalam Negeri KPDN Selangor Siti Rohani Omar berkata setiap enam barangan keperluan digandakan bagi memenuhi permintaan ramai.

Ketua Seksyen Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor Siti Rohani Omar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Hari ini kita bawa sebanyak 2,000 ayam, 600 kampit beras, 600 papan telur, daging dan ikan masing-masing 400 pek dan 140 botol minyak masak,” katanya.

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 kerana kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.

Mulai 2022, Kerajaan Negeri melancarkan program jualan murah, lanjutan Program Agro Prihatin Selangor yang diperkenal pada 2 Jun 2021 menerusi Pakej Kita Selangor 2.0. Ia bertujuan mengatasi lambakan hasil tani akibat pandemik Covid-19.

Program itu dijenamakan sebagai Jualan Prihatin Rakyat pada 28 Februari 2022. Pelaksanaannya dilanjutkan sehingga Julai 2022. Pada 30 Ogos 2022, ia diumumkan pula sebagai Jualan Ehsan Rakyat.

Ia kemudian ditukar kepada Jualan Ehsan Rahmah selepas PKPS bekerjasama dengan  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas murah sempena Jualan Ehsan Rahmah (JER) Mega Tahun Baharu Cina di Kompleks 3k, SS13, Subang Jaya pada 9 Febuari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :