Orang ramai meluangkan masa beriadah bersama keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina ketika tinjauan di Taman Tasik Shah Alam pada 12 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Orang ramai manfaat cuti beriadah bersama keluarga, rakan di Tasik Shah Alam

SHAH ALAM, 12 FEB: Orang ramai memanfaatkan cuti umum sempena Tahun Baharu Cina dengan melakukan aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tinjauan Selangorkini di Taman Tasik Shah Alam di Seksyen 14 di sini hari ini menyaksikan pelbagai lapisan umur meluangkan masa melakukan pelbagai aktiviti termasuk bersenam.

Salimah Abdul Jamil. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pekerja swasta Salimah Abdul Jamil, 33 berkata beliau datang ke rumah abangnya di Seksyen 2 berikutan semua ahli keluarganya berkumpul sempena cuti umum dan persekolahan.

“Sebelum datang ke tasik, saya bersama anak saudara ke masjid negeri untuk solat Subuh kemudian meluangkan masa bersenam.

“Selain dapat berkumpul, saya dapat bawa anak saudara berjalan dan bersenam sekali gus buat aktiviti menyihatkan badan,” katanya.

Effa Zaini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi kakitangan kesihatan, Effa Zaini, 32 berkata beliau mengambil peluang cuti umum untuk joging pada waktu pagi.

“Dua hari lalu saya pulang ke kampung di Rembau, Negeri Sembilan bersama keluarga dan tiba di kediaman di Seksyen 9 malam tadi.

“Alhamdulillah, saya sempat joging pagi kerana jika hari bekerja, saya tidak dapat berbuat demikian, perlu lakukan pada malam. Ada cuti umum, saya dapat menghirup udara segar waktu pagi,” katanya.

Azali Kadir. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bagi pesara bank, Azali Kadir,69 berkata cuti umum kali ini beliau tidak balik ke kampung kerana anak-anak semua mahu pulang ke kediaman di Seksyen 7.

“Sebenarnya setiap hari saya mesti meluangkan masa bersenam sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Pada hari ini, saya datang bersama rakan dan melihat ramai orang datang ke tasik untuk beriadah bersama keluarga atau sendirian.

“Dalam masa sama saya mengajak orang ramai terutama warga Shah Alam untuk sentiasa melakukan aktiviti riadah bersama keluarga atau rakan bagi mengeratkan hubungan selain menjaga kesihatan,” katanya.

Orang ramai meluangkan masa beriadah bersama keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina ketika tinjauan di Taman Tasik Shah Alam pada 12 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Orang ramai meluangkan masa beriadah bersama keluarga sempena cuti Tahun Baharu Cina ketika tinjauan di Taman Tasik Shah Alam pada 12 Januari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


Pengarang :