EXCO Sukan Najwan Halimi (dua, kiri), Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh (tiga, kanan) dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi (kanan) bergambar selepas sidang media Majlis Perasmian Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 pada 18 Januari 2024 di Shah Alam. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor yakin Kejohanan Badminton Berpasukan Asia lancar, persiapan lengkap sudah dilakukan

SHAH ALAM, 12 FEB: Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 melibatkan 26 pasukan termasuk pemain bertaraf dunia membuka tirainya esok sehingga 18 Februari ini.

EXCO Sukan Najwan Halimi berkata berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Setia Alam, kejohanan dwitahun itu bakal dirasmi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Selaku penganjur, segala kemudahan dan persediaan sudah lengkap terutama melibatkan keperluan perlawanan dan pemain. Kita yakin kejohanan akan berlangsung dengan lancar.

“Jualan tiket secara dalam talian dibuat sejak bulan lalu dan mendapat permintaan menggalakkan. Untuk jualan secara terus, ia dibuka esok namun kita galakkan penyokong membeli dalam talian,” katanya kepada SelangorKini.

Najwan berkata kejohanan kali ini tampil dengan lebih menarik apabila festival makanan melibatkan 150 gerai turut berlangsung berhampiran lokasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam.

“Memandangkan ia berlangsung ketika cuti persekolahan, kita yakin ada penonton membawa anak-anak. Untuk memudahkan mereka, ada tapak jualan berhampiran lokasi selain tarikan belon udara panas,” katanya.

BATC 2024 yang dianjur kali kedua di Selangor melibatkan 15 negara termasuk nama besar arena badminton antaranya China, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun.

Cabaran Malaysia yang tampil sebagai juara bertahan digalas empat pemain perseorangan iaitu Ng Tze Yong, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao dan Eugene Ewe manakala beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B yang bersaing dengan Brunei, Kazakhstan dan Taiwan.


Pengarang :