Aksi pemain beregu wanita negara Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing ketika menentang gandingan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Zainaba Reem Siraj-Sreeyuktha pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 14 Februari 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Kejohanan badminton Asia, pasukan wanita negara layak suku akhir

SHAH ALAM, 14 FEB: Pasukan wanita kebangsaan mengesahkan tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 selepas menyingkirkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-0 hari ini.

Malaysia pemenang pingat gangsa edisi lepas, hanya memerlukan kemenangan dalam Kumpulan Y untuk mara ke peringkat kalah mati di Pusat Konvensyen Setia City di sini, selepas Thailand mengetepikan UAE dengan mata sama, semalam.

Bagaimanapun, ujian sebenar bagi skuad kebangsaan, adalah perlawanan pagi esok menentang pasukan pilihan ketiga, Thailand untuk menentukan kedudukan teratas kumpulan, dengan separuh akhir akan memperoleh kelayakan automatik ke Piala Uber.

Dalam perlawanan hari ini, bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei meraih mata pertama menewaskan Nurani Ratu Azzahra 21-13, 21-9 dalam tempoh 29 minit.

Dalam dua perlawanan perseorangan seterusnya, K. Letshanaa menundukkan S. Madhumitha 21-11, 21-14, manakala Wong Ling Ching mengetepikan S. Sreeyuktha 21-14, 21-12 untuk mengesahkan kemenangan dengan mendahului 3-0.

Pemain Malaysia meneruskan aksi dominan mereka dalam acara beregu, selaku pemain nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah mengatasi R. Nayonika-Madhumitha 21-4, 21-5 dalam masa 21 minit, manakala gandingan sementara Tan Zhing Yi-Teoh Mei Xing menewaskan Zainaba Reem Siraj-Sreeyuktha 21-4, 21-14 untuk melengkapkan kemenangan sempurna.

“Mereka mempamerkan aksi terbaik untuk negara mereka sendiri, jadi kami mahu memberi lebih tumpuan kepada diri sendiri,” kata Thinaah selepas perlawanan itu, sambil menambah dia gembira menyertai kejohanan tersebut selepas terlepas edisi terakhir akibat COVID-19.

Sementara itu, Pearly berkata mereka mahu memberi tumpuan pada pelan permainan dan komunikasi mereka untuk terus mara dalam kejohanan itu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menetapkan sasaran minimum mara ke separuh akhir untuk kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dalam BATC kali ini, bagi menjamin tempat automatik dalam saingan berprestij Piala Thomas dan Piala Uber, April ini.

— BERNAMA


Pengarang :