Kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menunjukkan tikus salai yang dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Februari 2024. Foto Maqis
AGENDANASIONAL

Maqis patahkan cubaan lelaki Myanmar bawa masuk tikus salai di KLIA

SHAH ALAM, 14 FEB: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki Myanmar membawa masuk tikus salai ke negara ini tanpa kebenaran.

Pengarah Maqis Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata dagangan 15 kg itu dibawa masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Isnin lalu.

“Kesemua rampasan dianggarkan bernilai RM300 itu berjaya dikesan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pemeriksaan oleh pegawai Maqis,” katanya menerusi kenyataan.

Mohd Sobri menjelaskan perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama.

Tambahnya, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Maqis juga akan sentiasa mengambil langkah serius dalam isu ini bersama agensi penguatkuasaan di sempadan kerana ia membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.

“Kita sedia maklum, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.

“Justeru, tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.


Pengarang :