Seorang pengunjung membeli barangan keperluan asas pada Jualan Ehsan Rahmah DUN Kuang di Kampung Setia, Rawang pada 20 Februari 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jimat belanja dapur, warga emas kunjungi JER lebih 15 kali

GOMBAK, 20 FEB: Menjimatkan belanja dapur menjadi faktor seorang warga emas mengunjungi Jualan Ehsan Rahmah (JER) lebih 15 kali.

Shamsudin Zainal Abidin, 66, mengunjungi program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tahun lalu kerana memperoleh harga barangan asas lebih murah.

Shamsudin Zainal Abidin

“Saya jimat 15 peratus beli di JER jika banding beli di luar yang terpaksa menampung kos lebih tinggi. Ia sangat membantu saya memandangkan sudah tidak lagi bekerja.

“Namun, saya harap ada penambahbaikan pada jualan murah akan datang, PKPS tambah lagi jumlah bekalan barangan asas untuk memenuhi keperluan penduduk,” katanya.

Noraidah Anwari

Beliau ditemui pada JER peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuang di Laman Naluri, Kampung Setia di sini hari ini.

Bagi suri rumah, Noraidah Anwari, 45, jualan murah itu menjimatkan sehingga 50 peratus perbelanjaan barangan asas rumahnya dalam tempoh seminggu.

“JER bantu berjimat terutama suri rumah seperti saya yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Anuar Ab Jalil

“Hari ini saya beli telur sepapan, beras satu pek, sotong, kerang dan ikan untuk tempoh seminggu boleh memenuhi keperluan tujuh orang isi rumah,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Anuar Ab Jalil, 70, pula berkata JER menjimatkan perbelanjaan dapurnya sehingga 30 peratus.

“JER ini banyak manfaatnya dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah (B40) dan mudahkan warga emas dapatkan bekalan banding membeli di luar,” katanya.


Pengarang :