AGENDANASIONAL

Klang, Gombak, Petaling antara daerah diramal hujan lebat hingga 10 malam

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling hingga 10 malam.

Cuaca disertai ribut petir turut diramal melanda Kuala Lumpur dan Melaka selain beberapa daerah di Kedah, Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurut MetMalaysia di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :