Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 pada 26 Februari 2024. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM harap sidang parlimen perkukuh kerjasama semua pihak, bangunkan negara

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap persidangan parlimen kali ini akan menguatkan lagi kerjasama semua pihak bagi membangunkan negara demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menghadiri istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di sini hari ini yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Turut berangkat ke istiadat itu Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Ini merupakan istiadat pembukaan parlimen pertama oleh Sultan Ibrahim sejak mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu.

Anwar turut berkongsi beberapa keping gambar istiadat itu menerusi hantaran di laman Facebook.

Berdasarkan takwim di laman rasmi parlimen, persidangan kali ini berlangsung 19 hari dengan tumpuan kepada perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen dari 27 Februari hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Persidangan kemudian diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang.

– BERNAMA


Pengarang :