Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan mahu kerajaan hentikan birokrasi, segera atasi isu rakyat

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menasihati penjawat awam negeri ini untuk membuat anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kerenah birokrasi dan peraturan menyusahkan dalam urusan kerajaan perlu dikurangkan bagi mempercepat urusan perkhidmatan kepada rakyat.

Baginda juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak terus mengamalkan sikap lalai dan malas sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

“Sebagai contoh, projek tebatan banjir dan baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

“Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat beta yang akan terus menanggung akibatnya,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam istiadat menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di sini hari ini.

Sultan Selangor turut mengingatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan syor ahli majlis dianggotai sekurang-kurangnya 50 peratus golongan profesional, bukan dimonopoli ahli politik.

Baginda berharap langkah berkenaan dapat menangani masalah dan aduan rakyat dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi rakyat.

“Beta juga mahu PBT dan jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran memastikan harta awam diselenggara dengan baik.

“Ini termasuk pembaikan jalan raya rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif dalam bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi,” titah Baginda.

 

 


Pengarang :