Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan harap sidang dewan berlangsung harmoni, bukan medan tabur fitnah

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berharap persidangan Dewan Negeri berlangsung dengan penuh integriti dan bertanggungjawab serta menjadi contoh kepada rakyat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga mahu suasana perbahasan dalam keadaan harmoni dan adil serta tidak dijadikan medan menabur fitnah atau membesar-besarkan isu sensitif dan berita palsu.

“Suka beta ingatkan kepada Speaker dan Ahli Dewan Negeri bertindak adil dan bertoleransi antara satu sama lain serta menumpukan perbahasan kepada perkara memanfaat rakyat dan negeri,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian dalam istiadat menyuarat pertama (pembukaan) persidangan penggal kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di sini hari ini.

Sultan Selangor turut menyeru rakyat negeri ini bersyukur atas nikmat keamanan, kesejahteraan dan keselamatan yang dikurniakan selain berusaha memperkukuh hubungan baik dan muhibbah.

“Marilah kita berusaha memperbaiki kekurangan yang ada, menghindari persengketaan dan menjauhi segala perbuatan yang boleh membawa kemudaratan terutama rasuah dan salah guna kuasa,” titah Baginda.


Pengarang :