Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut berangkat DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan: Masjid perlu terus aman, elak sengketa cetus permusuhan

SHAH ALAM, 27 FEB: Institusi masjid dan surau perlu terus aman dan berkecuali daripada sebarang persengketaan serta perbalahan di sekelilingnya, tegas Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah rumah Allah adalah tempat untuk umat Islam beribadat, mencari ketenangan, membersihkan jiwa dan meningkatkan tuntutan silaturahim sesama ummah.

“Sehubungan itu, perlu dielakkan sama sekali unsur pencetus permusuhan dan perpecahan yang berlaku di luar daripada berlaku dalam masjid,” titah Baginda dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pada masa masa, Baginda bertitah institusi masjid dan surau perlu diurus dengan profesional, adil dan telus selaras garis panduan yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.

Beta turut mengingatkan pentadbir rumah ibadat itu untuk mematuhi peraturan ditetapkan supaya urus tadbir yang dilancarkan pada 7 Disember tahun lalu dijalankan secara efisien.

“Pentadbir juga perlu sentiasa mendengar dan responsif kepada keperluan jemaah dengan menggunakan sebaiknya kutipan sumbangan sedekah bagi menjamin keselesaan beribadah,” titah Baginda.

 


Pengarang :