Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mencemar duli berangkat ke Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Turut mengiringi Baginda DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan gembira usaha negeri kurangkan kesan kenaikan tarif air, ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 27 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menzahirkan kegembiraan terhadap usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri dalam mengurangkan kesan kenaikan tarif air.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu dilihat menerusi inisiatif Kerajaan Negeri yang menyerap dan menanggung kos bagi penerima air percuma Skim Air Darul Ehsan (SADE), sekolah, masjid, surau dan rumah ibadah.

“Kos tanggungan kerajaan beta akan meningkat kepada anggaran RM37.7 juta setahun namun usaha ini meringankan beban rakyat beta dan merupakan manifestasi terhadap keprihatinan kerajaan,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor ke-15 di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Sultan Sharafuddin pada masa sama menggesa semua pihak memberi kerjasama bagi memastikan proses penggantian paip usang dapat disegerakan.

Titahnya kira-kira 30,500 kilometer (km) paip membekalkan air kepada pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Ketika ini banyak berlaku kejadian paip pecah disebabkan paip usang, tekanan berlebihan ke atas paip dan juga vandalisme.

“Untuk menaik taraf rangkaian paip, kerajaan beta telah menyatakan komitmen menggandakan kadar penggantian paip daripada 150 km setahun kepada 300 km setahun,” titah baginda.


Pengarang :