Peserta menjalani latihan amali ketika menyertai bengkel pemantapan diri anjuran Yayasan Raja Muda Selangor bersama Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) di Kuala Selangor pada 15 Jun 2023. Foto Facebook STDC
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri peruntuk RM1 juta setiap tahun jayakan program kemahiran pelajar tahfiz

SHAH ALAM, 28 FEB: Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta setiap tahun bagi menjayakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) kepada pelajar tahfiz.

Dato’ Menteri Besar berkata sejak 2021 program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) diperluas ke maahad tahfiz yang diiktiraf.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Program ini diperkenal bagi membantu anak-anak tahfiz Selangor untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran seperti automotif, elektrik, teknologi maklumat, pastri dan kulinari, penyediaan pakaian wanita dan penyamanan udara.

“Setiap pelajar tahfiz itu mempunyai subsidi di antara RM4,900 sehingga RM15,075 bagi memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran teknikal yang diperlukan di pasaran pekerjaan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berhubung inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar tahfiz yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas lanjut Amirudin berkata sehingga Disember lalu seramai 103 pelajar tahfiz terpilih mengikuti program IKTISASS di STDC bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua hingga empat.

“Secara asasnya kadar kebolehpasaran graduan STDC mencapai hampir 80 peratus dan mendapat pekerjaan dalam bidang kemahiran yang dipelajari mereka,” katanya.


Pengarang :