ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Negeri diseru bangun sistem kenal pasti penjawat awam tidak produktif

SHAH ALAM, 29 FEB: Kerajaan Negeri disaran membangunkan sistem kerja bukan hanya berkaitan prestasi kerja baik tetapi dapat kenal pasti sikap yang tidak produktif.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata pelaksanaan sistem berkenaan membolehkan permasalahan itu ditangani dengan tindakan bersesuaian.

“Sikap lalai dan malas dalam kalangan segelintir penjawat awam adalah racun yang boleh merosakkan sistem pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Bagi mengatasinya, Kerajaan Negeri dicadangkan supaya membangunkan sistem kerja yang tidak hanya menghargai prestasi kerja yang baik tetapi juga dapat mengenalpasti sikap kerja yang tidak produktif.

“Penerapan sistem penilaian kerja yang adil, prestasi yang baik diperakui dan diberikan penghargaan sementara prestasi yang tidak baik ditangani dengan tindakan yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Tambah Azmizam, sistem tersebut bukan hanya meningkat mutu pentadbiran tetapi juga mengenai pembaharuan budaya kerja dalam pentadbiran awam.

Semalam, Sultan Sharafuddin menasihati penjawat awam negeri ini untuk membuat anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Bertitah dalam Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15, Baginda bertitah kerenah birokrasi dan peraturan menyusahkan dalam urusan kerajaan perlu dikurangkan bagi mempercepat urusan perkhidmatan kepada rakyat.

Baginda juga mengingatkan penjawat awam supaya tidak terus mengamalkan sikap lalai dan malas sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.


Pengarang :