EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim ketika melancarkan lori kompaktor dan imej baharu KDEB Waste Management (KDEBWM) di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Melawati pada 28 Februari. Foto FITRI HAZAM HAZIM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

RM42.5 juta dibelanja sedia lori RORO, kompaktor di MPS, MPAJ

AMPANG JAYA, 29 FEB: KDEB Waste Management (KDEBWM) membelanja RM42.5 juta bagi perkhidmatan kutipan sisa domestik dan sampah pukal di kawasan pentadbiran dua pihak berkuasa tempatan.

Pengarah urusannya berkata RM20 juta diperuntuk bagi penyediaan 49 lori kompaktor manakala RM3.5 juta pula bagi 20 unit lori ‘arm roll’ (ROR0) di Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

“Kawasan pentabiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pula, KDEBWM memperuntuk RM19 juta untuk perkhidmatan 44 lori kompaktor dan 3 lori RORO.

“Kelebihan lori baharu ini dapat menampung kapasiti 18,000 tan kutipan sampah, menjimatkan minyak dan ‘size’ yang sesuai untuk melalui semua kawasan bagi tujuan perkhidmatan,” kata Dato’ Ramli Mohd Tahir.

Beliau ditemui pada majlis pelancaran kenderaan berkenaan dan imej baharu KDEBWM yang dirasmikan EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati di sini semalam.

Sementara itu, Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berkata penyediaan lori RORO dan kompaktor baharu dapat menampung kutipan 240 tan sampah di 47 kawasan pentadbirannya.

“Lori baharu ini juga dapat meleraikan isu kerosakan lori lama selain membuat kutipan sampah dengan lebih efisien dan mengikut jadual,” katanya.

Yang Dipertua MPS Dato’ Mohd Yazid Sairi pula berkata kenderaan berkenaan akan membantu pihaknya menyelesaikan rungutan penduduk berkenaan isu pungutan sampah.

“Lori kompaktor dan RORO baharu diterima dapat menampung jumlah kutipan sampah 16,800 tan untuk sebulan di Selayang.

“Ia juga memenuhi keperluan jumlah penduduk di Selayang seramai 764,000 meliputi keluasan 546.6 kilometer (KM),” katanya.


Pengarang :