Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Februari 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hujah perlembagaan ciptaan penjajah tidak tepat, polemik presiden PAS pancing sokongan politik

SHAH ALAM, 29 FEB: Hujah presiden PAS kononnya Perlembagaan Persekutuan hanya undang-undang ciptaan penjajah yang mengetepikan kedudukan Islam tidak tepat, sebaliknya bertujuan mencetuskan polemik demi meraih sokongan politik.

Setiausaha sulit kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkata Tan Sri Abdul Hadi Awang malah beberapa kali mengangkat sumpah setia jawatan ahli parlimen untuk memelihara dan mempertahan perlembagaan itu.

“Jadi, kenapa sekarang beliau mempertikai kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan Islam ditetapkan sebagai agama persekutuan sejak ia digubal pada 1957 lagi.

“Adakah YB Tan Sri Hadi tidak lagi menghormati perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara? Tidakkah ini juga menggambarkan beliau sengaja mencetuskan polemik politik demi meraih sokongan rakyat khususnya umat Islam berbangsa Melayu,” kata Dato’ Muhamad Munir Bani.

Ditulis bagi menjunjung titah perintah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, surat beliau bertarikh 27 Februari yang ditujukan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri diterbitkan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Muhamad Munir menjawab kenyataan Abdul Hadi di Facebook pada 20 Februari yang dipercayai mengulas titah ucapan Baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Baginda mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang membatalkan 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut seperti petisyen yang dibawa peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Muhamad Munir turut menegaskan Raja-Raja Melayu, parti politik dan badan agama terlibat langsung dalam rundingan bagi melahirkan Perlembagaan Persekutuan, sesuai dengan kemajmukan kaum dengan meletakkan Islam sebagai teras.

“Malah tidak ketinggalan juga Persatuan Agama Islam Se-Malaysia atau PAS seperti yang dikenali sekarang ini telah menghantar laporan bertulis bagi menyatakan pandangan mereka semasa proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

“Berikutan dengan itu, lahirnya Rukun Negara yang meletakkan keluhuran perlembagaan sebagai salah satu teras utama yang menjadi dukungan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor sebagai pengerusi MKI menitahkan penyelesaian dicari bagi memastikan kemantapan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang syariah agar tiada pertindihan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menyarankan agar kerajaan mempertingkatkan usaha ke arah memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di setiap negeri. Selain itu, Baginda mencadangkan satu jawatankuasa khas meneliti persoalan tersebut.

Teks lengkap titah ucapan Baginda boleh dibaca di sini Sultan: Perkasa mahkamah syariah, elak agama jadi bahan politik 


Pengarang :