EXCO Perumahan Borhan Aman Shah menjawab soalan sempena sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rumah Selangorku Morib siap Disember ini, pelabur baru suntik dana

SHAH ALAM, 1 MAC: Projek Rumah Selangorku Pangsapuri Morib Anggun, Kuala Langat yang tergendala sebelum ini dijangka siap Disember ini.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata beberapa siri mesyuarat dan lawatan tapak telah diadakan bagi memantau perkembangan pembinaan projek terbabit dengan kerajaan persekutuan.

“Perkara yang saya nampak terjadinya kelewatan kerana ada masalah (pemaju) untuk membayar dana ‘Bank Guarantee’, asalnya mereka perlu membayar RM18 juta.

“Namun, atas budi bicara Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari), Kerajaan Negeri memberi kelonggaran maka dengan sumber diberi, mereka dapat membayar ‘Bank Guarantee’ kepada pihak utiliti.

Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Terdapat pelabur baru akan menyokong projek dengan suntikan dana signifikan. Pengurusan tertinggi syarikat turut diganti bagi memastikan kerja di lapangan diteruskan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib Rosnizan Ahmad berhubung Rumah Selangorku Morib dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan isu itu sudah dibawa kepada campur tangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Media turut melaporkan impian kira-kira 500 pembeli projek perumahan di Morib yang kebanyakan golongan B40 memiliki rumah sendiri tertangguh apabila gagal disiapkan sejak 2020.


Pengarang :