Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menjalankan pemeriksaan di sebuah pasar raya di Klang pada 10 April 2023. Foto Ihsan KPDN Selangor
AGENSISELANGOR

KPDN Selangor pantau pelaksanaan SST, periksa hotel, pusat kesihatan

SHAH ALAM, 5 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor melalui Ops Kesan 2024 melakukan pemeriksaan ke atas premis hotel dan pusat kesihatan yang beroperasi di negeri itu, susulan pelaksanan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Mac.

Jurucakap KPDN Selangor berkata pemeriksaan bagi memantau kesan kenaikan kadar SST daripada enam kepada lapan peratus itu, menyaksikan tiga notis Pengesahan Maklumat Barangan dikeluarkan kepada premis berkenaan.

Beliau berkata fokus pemantauan dan penguatkuasaan yang dilakukan adalah untuk memastikan pihak berkenaan tidak mengambil kesempatan, membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Peniaga atau pengusaha premis perniagaan terbabit yang tidak termasuk di dalam perkhidmatan yang terlibat dengan SST lapan peratus, diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dari pelaksanaan kadar baharu SST.

“Jika wujud kesalahan dari segi perundangan pencatutan, tindakan ke atas mereka akan diambil berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, KPDN Selangor mengalu-alukan kerjasama orang ramai mengemukakan aduan dan berkongsi maklumat berkaitan tindakan premis perniagaan menaikan harga secara tidak wajar serta mengambil kesempatan dengan peralihan kadar SST, bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam dan Klang Kamarul Nizam Razak berkata pihaknya mengharapkan penerangan dan penguatkuasaan lebih menyeluruh dapat dibuat agensi berkaitan, bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan di atas pengenalan kadar baharu SST itu.

Beliau berkata pasar malam menjadi lokasi orang ramai membeli barangan dengan harga lebih murah perlu diberi perhatian serta dilindungi, agar tidak terkesan dengan kadar SST baharu akibat tindakan sesetengah pihak dalam rantaian perkhidmatan yang tidak bertanggungjawab demi meraih keuntungan berlebihan.

“Kita ini berniaga di pasar malam yang menjadi pilihan orang ramai, kerana mereka boleh membeli barang atau makanan dengan harga lebih murah.

“Saya berharap ketegasan pihak berkuasa dalam memberi peringatan kepada pemain industri dan pelaksanaan Ops Kesan, dapat membantu menstabilkan harga barang supaya kami dapat terus menawarkan barangan dengan harga munasabah,” katanya.

Bermula 1 Mac 2024, kadar baharu SST dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini, sebagaimana diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober 2023.

Langkah itu sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan daya tahan kewangan negara sambil mengurangkan defisit belanjawannya.

– BERNAMA


Pengarang :