Kakitangan Lembaga Urus Air selangor (LUAS) melaksanakan program simulasi tumpahan minyak di Kolam Hang Tuah, Bestari Jaya. Foto Facebook LUAS
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

LUAS belanja lebih RM30 juta pantau sumber air mentah di Selangor

SHAH ALAM, 5 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) membelanjakan RM30.25 juta bagi memantau, mengawal dan melaksanakan penguatkuasaan di sepanjang kawasan sumber air mentah negeri ini sejak 2018 hingga tahun lalu.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Ir Izham Hashim berkata kos itu termasuk pembangunan stesen telemetri, perolehan peralatan pemantauan dan kerja penyelenggaraan infrastruktur sumber air.

“Berlaku lonjakan ketara apabila pada tahun 2020 agensi itu membelanja sejumlah RM360,000 manakala meningkat kepada RM8.86 juta pada 2021.

“Peningkatan ini berikutan keperluan penyediaan peruntukan bagi operasi Skuad Pantas LUAS yang menjalankan pemantauan rondaan 24 jam di lembangan sungai strategik di Selangor dan bagi Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) di Bestari Jaya,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Taman Medan Dr Afif Bahardin berhubung sumber air mentah di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Izham berkata bekalan sumber air kepada rakyat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur masih mencukupi selama tempoh berlaku fenomena El-Nino pada kali ini.

Jelasnya empat empangan utama di Selangor berada pada paras 100 peratus iaitu Empangan Sungai Selangor, Empangan Sungai Tinggi, Empangan Semenyih dan Empangan Tasik Subang setakat 14 Februari lepas.

“Kesediaan bekalan air mentah ini juga dibantu melalui 100 buah kolam takungan yang dapat dijadikan sumber air alternatif di Selangor.

“Semua kolam ini mampu membekalkan air tambahan selama tiga bulan lagi. Air kolam akan dialirkan sama ada secara graviti atau melalui pam ke sungai di mana kedudukan muka sauk terletak dihilirnya,” katanya.


Pengarang :