Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada 6 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan lulus peruntukan RM300 juta atasi isu bekalan air di Sabah

SHAH ALAM, 6 MAC: Kerajaan Persekutuan melalui Jemaah Menteri pada 27 September lalu meluluskan peruntukan RM300 juta secara pinjaman bagi membantu menyelesaikan bekalan air di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) sedang memohon tambahan peruntukan RM100 juta kepada Kementerian Ekonomi bagi mengatasi isu terbabit.

Beliau menambah empat projek baharu juga telah diluluskan di bawah Rolling Plan Keempat (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di Sabah.

“Kementerian akan memastikan projek yang diluluskan dipantau secara berkala dengan mengadakan lawatan kerja dan mesyuarat di tapak oleh agensi bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan kerajaan Sabah juga sudah diluluskan peruntukan RM163.55 juta di bawah RP4 bagi projek sambungan.

“Bagi penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Negeri Sabah boleh memohon di bawah ‘Rolling Plan’ akan datang berdasarkan perancangan projek dan keperluan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Sabah,” katanya yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.


Pengarang :