Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 1 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat PN sokong MB isyarat jelas Selangor pada landasan betul

SHAH ALAM, 7 MAC: Blok Penyokong Kerajaan (BBC) menyifatkan sokongan wakil rakyat Selat Klang kepada kepimpinan Dato’ Menteri Besar isyarat jelas pentadbiran negeri pada landasan betul.

Menyambut baik langkah itu, pengerusinya Azmizam Zaman Huri berkata keputusan tersebut juga menujukkan Datuk Abdul Rashid ingin bersama membina masa depan lebih cemerlang buat rakyat.

“BBC juga mengalu-alukan kerjasama erat dalam dan luar Dewan Sidang Selangor buat seluruh anggotanya dengan mengetepikan perbezaan politik demi kesepaduan dan kesejahteraan semua pihak,” katanya.

Semalam, Abdul Rashid menyatakan sokongan kepada kepimpinan Dato’ Seri Amirudin Shari berikutan Perikatan Nasional (PN) Selangor berdiam diri terhadap tohmahan kepada Raja-Raja Melayu.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berucap sempena Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 28 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menegaskan keputusan itu dibuat dengan rela hati, beliau dalam kenyataan berpendapat tindakan gabungan tersebut juga berlawanan prinsip orang Melayu beragama Islam.

Sebelum ini, setiausaha sulit kepada Sultan Selangor menyifatkan kenyataan sinis presiden PAS berhubung sikap “Raja-raja perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia” tidak bersesuaian dan tidak beradab.

Dato’ Muhamad Munir Bani berkata kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bertentangan budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan kepada Raja-raja.

Teguran itu menjawab kenyataan Abdul Hadi di Facebook pada 20 Februari yang dipercayai mengulas titah ucapan Baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Baginda mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang membatal 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut seperti petisyen yang dibawa peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Kelmarin, Abdul Hadi dilapor mengutus warkah kepada Sultan Selangor tetapi kandungannya tidak didedah.


Pengarang :