EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah menjawab soalan ketika sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 15 November 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Mais tubuh jawatankuasa khas pantau kegiatan dakwah dalam talian

SHAH ALAM, 7 MAC: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau kegiatan dakwah dalam talian yang bertentangan dengan enakmen, fatwa dan undang-undang syariah negeri.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Soal penguatkuasaan bahan dakwah (termasuk kegiatan dakwah) secara dalam talian sedang diteliti Mais dengan penubuhan jawatankuasa khas yang melihat kepada pelbagai perkara.

“Ini termasuk jika alamat protokol internet (IP) berada di luar (Selangor). (Mais teliti) kaedah dan cara bagaimana mengekang dan mengawalnya melalui penubuhan jawatankuasa khas,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah yang ingin tahu usaha Kerajaan Negeri berkait kegiatan dakwah dalam talian yang dikhuatiri menyimpang dan bertentangan dengan enakmen, fatwa dan undang-undang syariah Selangor.

Menjawab soalan wakil rakyat Hulu Bernam Mu’izzuddeen Mahyuddin tentang usaha memperkukuh akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini katanya pelbagai insiatif dilaksana Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) termasuk penyediaan silibus akidah di sekolah rendah dan menengah seliannya.

“Selain itu Jais turut memberikan penjelasan melalui teks khutbah Jumaat yang menyentuh berkaitan akidah islam selain pencegahan ajaran menyeleweng dan sesat melalui kawalan tauliah ceramah.

“Jais juga melaksanakan pencelahan dalam isu dan masalah berkaitan pegangan akidah Islam yang dihadapi dalam kes rumah tangga dan kekeluargan melalui pegawai runding cara,” katanya.

Selain itu usaha penguatkuasaan undang-undang yang konsisten terhadap kesalahan yang bertentangan dengan enakmen dan undang-undang jenayah Syariah dan fatwa Selangor turut dilaksana Jais.


Pengarang :