SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri melaksana pelbagai program dan insiatif bagi mencipta peluang pekerjaan kepada anak muda di Selangor.
Dato’ Menteri Besar berkata ia termasuk kerjasama dengan syarikat penyedia teknologi tempatan dan antarabangsa seperti Siemens, Apple Inc dan Dassault System.
Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tahun lalu Selangor berjaya mencipta kira-kira 33,000 peluang pekerjaan untuk diisi pekerja berkemahiran dan separa mahir.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2024/03/P-DUN-11-500x333.jpg.webp)
“Peluang pekerjaan ini juga meliputi pelbagai bidang dan bidang kemahiran yang memerlukan program latihan disebabkan itu kita memperkemas latihan teknikal dan vokasional di STDC (Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor),” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Semenyih Nushi Mahfodz yang ingin tahu langkah Kerajaan Negeri mewujudkan peluang pekerjaan untuk anak muda.
Amirudin menambah, Kerajaan Negeri juga menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melibatkan kerjasama STDC dan Kolej Vokasional untuk program peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran.
“Baru-baru ini saya juga telah mengadakan pertemuan dengan Malaysian Board of Technology yang telah membincangkan bagaimana untuk memperkasa Fakulti Kejuruteraan serta bidang teknikal dan vokasional di Unisel (Universiti Selangor).
“Kita turut melaksanakan program Jom Kerja kira-kira tiga kali setahun dan saya percaya program ini boleh diperbanyak (selepas ini) bergantung kepada peruntukan diberikn Kerajaan Negeri,” katanya.