Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik Najwan Halimi menyampaikan ucapan pada Majlis-Tea Perdana dan penyerahan sumbangan Ihya’ Ramadan DUN Kota Anggerik di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Kota Anggerik peruntuk RM200,000 laksana program Ramadan

SHAH ALAM, 11 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik memperuntuk RM200,000 bagi melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.

Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata RM150,000 akan disumbang kepada masjid dan surau menerusi program Ihya’ Ramadan.

“Bakinya kita akan menganjurkan program edaran bubur lambuk dan majlis berbuka puasa bersama asnaf, pemimpin masyarakat dan persatuan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya’ Ramadan kepada masjid dan surau di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

EXCO belia dan sukan itu juga berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk program berbuka puasa dengan belia.

“Kita akan turut bekerjasama dengan MBI untuk program berbuka puasa bersama generasi muda seperti Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan mahasiswa Selangor.

“Kita bercadang untuk anjurkan program kerohanian bersama mereka seperti qiamulail perdana pada 10 malam terakhir Ramadan nanti,” jelasnya.


Pengarang :