Pengunjung mendapatkan barangan keperluan pada harga murah di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di perkarangan Masjid Nurul Jannah, Klang pada 13 Mac 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kunjungi jualan murah 10 kali, pesara akui jimat belanja, barangan segar

KLANG, 13 MAC: Setiap kali program Jualan Ehsan Rahmah (JER) diadakan berhampiran kediamannya, pesara tentera ini tidak ketinggalan mengunjunginya malah sudah 10 kali beliau berbuat demikian.

Abdul Rahim Husain, 66, berkata beliau enggan melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan pada harga murah dan barangan segar dalam program anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) itu.

“Tawaran yang disediakan Kerajaan Negeri ini rezeki buat kita. Alhamdulillah harganya sangat murah dan menjimatkan belanja.

Pesara tentera, Abdul Rahim Husain, 66, ketika ditemui di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di perkarangan Masjid Nurul Jannah, Klang pada 13 Mac 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

“Kalau boleh teruskanlah program seperti ini kerana secara tidak langsung ia membantu rakyat berbelanja pada harga sangat berpatutan,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, kakitangan swasta, Norsuhaila Ariffin, 41, mengakui sering menunggu ketibaan trak JER berhampiran rumahnya bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga rendah.

“Saya suka datang kerana barang di sini murah. Telur, beras dan ayam sangat murah di jualan ini berbanding pasar raya. Kalau ada lagi program seperti ini memang pasti akan datang,” katanya.

Kakitangan swasta, Norsuhaila Ariffin, 41, ditemui di program Jualan Ehsan Rahmah (JER) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru di perkarangan Masjid Nurul Jannah, Klang pada 13 Mac 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Abdul Rahim dan Norsuhaila ditemui dalam program JER di perkarangan Masjid Nurul Jannah di sini, hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Mariam Abdul Rashid.

Mariam berkata pihaknya berazam memastikan program JER dapat diadakan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap kawasan bagi memastikan rakyat menerima manfaatnya.

“Program JER ini diadakan sebulan dua kali di semua kawasan di Meru. Sepanjang bulan Ramadan ini kita cuba tumpukan di kawasan penduduk dengan majoriti Melayu.

“Setakat ini kita buat sebulan dua kali tetapi kita juga galakkan ahli majlis atau ketua kampung memohon kepada PKPS supaya ia dapat diadakan lebih kerap,” katanya selepas meninjau program berkenaan.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Sebelum ini, PKPS menerima Anugerah Pengurusan Berkualiti 2023 berikutan kejayaan cemerlang termasuk pengendalian program JER. Agensi itu turut diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar sempena Aidilfitri.

Lokasi terkini jualan murah boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :