Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Harga barang di pasaran mahal, pengguna digesa lapor kepada KPDN

SHAH ALAM, 14 MAC: Pengguna digesa membuat aduan rasmi kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) jika harga makanan atau barangan di pasaran tidak munasabah.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata berbanding hanya menularkan perkara itu di media sosial, aduan rasmi perlu dibuat untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.

“Kita mengharapkan aduan itu spesifik (kepada portal rasmi) supaya boleh buat pemeriksaan (siasatan) di lokasi yang dinyatakan dengan butiran khusus. Berbanding tular harga (di media sosial).

“Seperti kes di bazar Ramadan TTDI (atas aduan harga tinggi). Apabila kita buat pemantauan memang ada karipap harga tinggi. Namun akhirnya berbalik kepada pengguna untuk memilih kerana di bazar Ramadan itu masih ada karipap dijual murah

“Kita harap pengguna gunakan hak mereka untuk memilih produk pada harga berpatutan,” katanya menjawab soalan ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan yang ingin tahu mengenai Ops Pantau KPDN dalam memantau harga barangan terutama di bazar Ramadan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu Armizan berkata dalam tempoh dua hari sejak 12 Mac sebanyak 3,099 premis diperiksa dalam Ops Pantau sempena Ramadan dan Aidilfitri.

“Menerusi pemeriksaan itu, sebanyak 11 kes dibuka dengan enam kes membabitkan pencatutan dan notis dikeluarkan kepada peniaga untuk memberikan maklum balas tentang harga yang ditawarkan,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan ahli Parlimen Hulu Terengganu Dato’ Rosol Wahid yang ingin tahu tindakan diambil susulan pembongkaran kurma dari Israel yang dibawa masuk ke Malaysia katanya KPDN akan terus membuat pemantauan di pasaran berhubung isu itu.

“KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya mempunyai maklumat berhubung tindakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan untuk mengelirukan pengguna,” katanya.


Pengarang :