Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong (kanan) pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan 8 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Keluarga kanak-kanak diserang anjing liar diminta tampil buat laporan

KLANG, 14 MAC: Keluarga kanak-kanak perempuan yang didakwa menjadi mangsa serangan dua anjing liar di Pangsapuri Taman Suri Pendamar, di sini baru-baru ini diminta segera tampil membuat laporan.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima laporan kejadian itu sekali gus menyukarkan siasatan dan usaha mengesan mangsa dijalankan.

“Kita dalam proses mengesan mangsa dan untuk itu, saya harap ibu mangsa dapat membantu dengan tampil membuat laporan di balai polis berdekatan bagi memudahkan tindakan lanjut diambil,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan kes serangan dua anjing liar terhadap seorang kanak-kanak perempuan pada 10 Mac lalu yang mendatangkan kecederaan parah kepada mangsa.

Mengikut laporan media, dalam kejadian 2 petang Ahad lalu itu, mangsa Nur Acha Dawina, 11, diserang ketika membuang sampah bersama ibu saudaranya mengakibatkan kanak-kanak itu luka di kepala, telinga, kaki serta tangan hingga terpaksa menerima 15 jahitan dan perlu menjalani pembedahan selama enam jam bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang, 11 Mac lalu.

Berhubung kes sama, Cha berkata seorang lelaki tempatan berusia sekitar 50-an yang didakwa pemilik anjing tersebut tampil membuat laporan polis menafikan haiwan terbabit miliknya.

Beliau berkata lelaki itu membuat laporan polis pada hari kejadian selepas mendapat makluman mengenai insiden itu daripada keluarga mangsa.

Dalam pada itu, Cha berkata pelbagai barang kes sepanjang 2023 membabitkan aktiviti perjudian, kontraban dan perlombongan mata wang kripto bitcoin berjumlah RM700,000 dilupuskan hari ini selepas siasatan menyeluruh selesai dilakukan dan pesalah didakwa serta dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

Pelupusan barang kes ini melibatkan 2,026 unit barang perjudian; 4,443 unit barang kes kontraban dan 837 unit barang kes bitcoin membabitkan 152 kertas siasatan yang dijalankan sepanjang tahun lalu.

– BERNAMA


Pengarang :