Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia sasar 35.6 juta pelancong, raih pendapatan lebih RM147 bilion

SHAH ALAM, 14 MAC: Seramai 35.6 juta pelancong disasar datang ke negara ini dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM147.1 bilion sempena kempen Melawat Malaysia (VM) 2026.

Timbalan menteri pelancongan, seni dan budaya berkata bagi mencapai sasaran itu, pihaknya memperkasa penjenamaan Malaysia Truly Asia dan Cuti-Cuti Malaysia selari objektif dan strategi Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 serta Pelan Strategik dan Pemasaran 2022-2026.

“Selain itu, fokus diberikan kepada pasaran utama yang menyumbang jumlah kedatangan pelancong asing seperti negara Asean, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Timur untuk pulangan pelaburan yang pantas.

“Kemudahan tanpa visa yang disediakan kerajaan untuk menarik lebih ramai pelancong asing khususnya daripada pasaran China dan India turut dimanfaatkan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Julau Datuk Larry Soon yang ingin tahu sasaran pelancong luar negara berkunjung ke Malaysia dan sasaran pendapatan sempena VM2026.

Beliau berkata promosi bersama, jerayawara, misi galakan dan pameran pelancongan, seminar serta aktiviti perhubungan awam di pasaran antarabangsa turut dipertingkat.

“Selain itu promosi produk kebudayaan, kesenian dan warisan sebagai produk pelancongan utama melalui jalinan kerjasama Tourism Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Jabatan Warisan Negara, Perbadanan Kemajuan dan Kraftangan Malaysia dan Istana Budaya,” katanya.

Khairul Firdaus dalam pada itu turut menyeru kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menaik taraf dan menyelenggara kemudahan di kawasan tumpuan pelancong masing-masing.

“Ia termasuk meningkatkan aspek kebersihan dan keceriaan bagi menjamin keselesaan dan keselamatan pelancong,” katanya.


Pengarang :