SERDANG, 15 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan mencemar duli menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Keberangkatan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj diiring Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan Naib Canselor UPM Dato’ Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
Pada majlis tersebut, Baginda yang juga Canselor UPM menyampaikan duit raya kepada 30 pelajar asnaf, anak yatim dan orang kurang upaya yang disumbang Tabung Amanah Zakat UPM.
Sultan Selangor turut berkenan menerima dana zakat UPM untuk tahun lalu berjumlah RM8.16 juta dan projek dana wakaf ilmu bernilai RM1.25 juta.
Wakaf ilmu yang diwujudkan sejak 2012 bagi pembiayaan aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan turut menerima sumbangan berjumlah RM1.97 juta daripada individu, korporat, kakitangan serta pelajar universiti.
Baginda kemudian menerima bayaran zakat perniagaan UPM Holdings Sdn Bhd berjumlah RM100,000, TMJ Mesra Travel dan Tours Sdn Bhd (RM30,000) dan Koperasi UPM Berhad (RM28,177), diikuti dana wakaf ambulans Tabung Haji (RM400,000) dan sumbangan korporat Pharmaniaga Berhad (RM35,000).
Selepas santapan berbuka puasa, Sultan Selangor berkenan menunaikan solat fardhu dan sunat tarawih di Masjid UPM.