Rakyat Palestin berehat sebaik tiba di Rafah selepas diarahkan keluar dari Hospital Nasser di Khan Younis akibat operasi serangan rejim Israel pada 15 Februari 2024. Foto Reuters
AGENDAGLOBAL

Israel serang pusat edar makanan, Malaysia kecam tindakan tidak perikemanusiaan

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh Israel ke atas pusat pengedaran makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Rafah, Gaza pada 13 Mac.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Kementerian Luar juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata sekurang-kurangnya seorang kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terbunuh dan 22 lagi cedera dalam serangan itu.

Wisma Putra berkata UNRWA adalah agensi yang melindungi jutaan rakyat Palestin dan serangan yang menyasarkan pusat pengedaran makanan agensi PBB itu di Gaza adalah tindakan yang menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

“Malaysia mengulangi gesaan agar gencatan senjata serta-merta dan kekal dicapai untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin yang tidak bersalah dan memastikan akses bagi bantuan kemanusiaan tanpa halangan, selamat, mencukupi dan berterusan bagi memastikan makanan,ubat-ubatan, keperluan asasi selamat sampai di seluruh Gaza.

“Keganasan yang melampau oleh Israel terhadap rakyat Palestin dan serangan terhadap kakitangan dan wartawan PBB mesti dihentikan dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata kegagalan masyarakat antarabangsa untuk bertindak akan menyebabkan kehilangan nyawa yang lebih ramai dan menambahkan lagi penderitaan rakyat Palestin.

Ia menekankan keperluan untuk semua negara menjalankan tanggungjawab mereka dari segi kemanusiaan, etika, dan undang-undang kepada rakyat Palestin terutamanya semasa Ramadan.

“Sejak tercetusnya konflik, sekurang-kurangnya 165 ahli pasukan UNRWA telah terbunuh, termasuk mereka yang sedang menjalankan tugas, lebih 150 fasiliti UNRWA musnah, termasuk sekolah manakala lebih 400 orang terbunuh ketika mencari tempat perlindungan.

“Serangan yang disengajakan terhadap fasiliti, konvoi dan kakitangan PBB adalah pengabaian terang-terangan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” kata Wisma Putra.

Wisma Putra juga menyatakan bahawa Malaysia tetap berpegang teguh dengan pendirian bahawa rakyat Palestin berhak mendapat negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967,dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

— BERNAMA

 


Pengarang :