AGENDAJENAYAH

Pura-pura jual susu, lelaki samun suri rumah pakai barang kemas

SEREMBAN, 19 MAC: Tindakan seorang lelaki menyamun dengan berpura-pura sebagai penjual susu di sekitar Negeri Sembilan, tumpas selepas ditahan polis dalam ‘Op Sentap’ pada Ahad.

Ketua Polis negeri Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, menahan lelaki warga tempatan berusia 40-an itu di sekitar Puchong, Selangor kira-kira 3.40 pagi.

“Suspek dipercayai terlibat dalam kes samun dan ragut di Negeri Sembilan. Modus operandi digunakan dengan menyamar sebagai penjual susu dari rumah ke rumah, menaiki motosikal.

“Lelaki itu menyasarkan mangsa terutama wanita yang memakai barang kemas, dengan berpura-pura menjual susu dan menyamun mangsa tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata pihaknya telah menyelesaikan sembilan kes dilakukan suspek iaitu dua kes di IPK negeri, tiga kes IPK Perak, tiga kes IPK Pulau Pinang dan satu kes di IPK Kedah melibatkan kerugian berjumlah RM150,000.

Beliau berkata turut dirampas lima keping kad pengenalan dan sekeping lesen memandu milik individu lain, sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR, topi keledar, kunci berlogo Yamaha, dua telefon bimbit dan dipercayai dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak pertengahan tahun lepas.

“Lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan. Hasil semakan suspek mempunyai 19 rekod melibatkan kes jenayah dan dadah,” katanya

-BERNAMA


Pengarang :