Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung (kanan) bersama Pengarah Helio Media Sdn Bhd melihat model lampu LED selepas menandatangi MoU di pejabat syarikat itu di Taman Mayang Petaling Jaya pada 20 Mac 2024. Foto Facebook Lee Chean Chung
ADNSELANGOR

Kelas pemasangan lampu LED percuma, galak anak muda ceburi bidang teknologi terkini

SHAH ALAM, 21 MAC: Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya menganjurkan kelas pemasangan lampu diod pemancar cahaya (LED) secara percuma kepada anak muda pada Mei depan.

Wakil rakyatnya Lee Chean Chung berkata kelas diadakan untuk memberi peluang kepada golongan muda menceburi bidang berteknologi terkini.

“Kelas pemasangan LED dipilih kerana ia adalah teknologi baharu yang mana penggunaannya semakin berkembang pesat di Malaysia.

“Trend ini bakal mencipta peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang lebih lumayan, mampu mengubah nasib sekali gus mengisi keperluan industri.

“Oleh itu, kita bekerjasama dengan syarikat Helio Media Sdn Bhd dan pertubuhan bukan kerajaan PJ Up!. Kerjasama dengan syarikat persendirian penting dalam meningkatkan kemahiran anak muda,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan kelas bermula pada 11 Mei hingga 19 Mei depan melibatkan 25 pelajar.

“Setelah kelas ini tamat dan pelajar menjalani peperiksaan, mereka akan mendapat sijil tahap satu daripada Nova Star dan Helio Media serta diiktiraf China dan Eropah.

“Pelajar yang dapat sijil berpeluang menjalankan khidmat pemasangan LED, menjadi pakar perundingan dan menjalani perniagaan perkhidmatan penjagaan,” katanya.

 


Pengarang :